Kek Gula Hangus atau juga dikenali sebagai Kek Sarang Semut kerana rupa dan tekstur nya yang berlubang-lubang. Kek ni boleh dikatakan kek klasik yang menjadi kegemaran ramai sejak dahulu lagi. Rasanya pun sangat sedap dan tidak mudah berasa muak jika dimakan.
Bahan utama kek gula hangus ialah gula putih yang dimasak sehingga menjadi warna perang atau karamel, transformasi rasa dari gula putih kepada karamel yang menjadikan kek ini sangat sedap. Sila rujuk bahagian tips untuk cara-cara memasak gula karamel.
Bahan-Bahan:
- 1 cawan gula pasir.
- 1 cawan air panas.
- 3 biji telur.
- 1/2 cawan susu pekat.
- 125 g mentega, cairkan.
- 1 sudu besar soda bikarbonat.
- 1 cawan tepung.
Cara Penyediaan:
- Cairkan gula pasir di atas api perlahan dan biarkan gula masak sehingga keperangan.
- Apabila gula sudah cair keperangan sepenuhnya, tuang air panas sedikit demi sedikit dan biarkan sejuk. Pukul telur bersama susu pekat dan mentega yang sudah dicairkan.
- Ayak soda bikarbonat ke dalam adunan dan kacau sebati. Jangan ayak sekali bersama tepung. Kemudian ayak pula tepung gandum dan kacau sehingga adunan tidak berketul. Tuang air gula karamel tadi sedikit demi sedikit ke dalam adunan dan kacau sebati.
- Tuang ke dalam loyang dan rehatkan selama minimum 1 jam.
- Bakar selama 20-25 minit pada suhu 160°C.
Tips:
- Jangan guna sudip untuk mengacau gula kerana nanti gula akan menjadi berketul, cukup sekadar goyangkan kuali untuk mengacau gula supaya tidak hangus. Masak di atas api perlahan dan sentiasa pantau gula supaya tidak hangus.
- Pastikan air gula karamel sejuk sepenuhnya sebelum dimasukkan ke dalam adunan. Jika masih panas, tepung akan menjadi masak semasa proses mengadun dan kek akan menjadi ‘bantat’ atau tidak naik.